Saturday, October 30

Majlis Konvokesyen Pertama UPNM


Tanggal 10 Oktober 2010 bersamaan 2 Zulkaedah 1431H tercipta sejarah kepada Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) sejak penubuhannya pada tahun 2006. Majlis Konvokesyen Pertama UPNM telah diadakan di Dewan Tun Templer, Kem Sungai Besi, Kuala Lumpur. Majlis konvokesyen ini berlangsung dengan penuh keunikan tersendiri kerana menyatukan kedua-dua istiadat ketenteraan dan awam. Sebagai sebuah Universiti Awam yang berteraskan kepada falsafah, visi dan misi ke arah melahirkan pegawai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang mempunyai ‘intellectual leaders of character’, DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Wathiqu Billah Tuanku Sultan Mizan Zainal Abidin Ibni Al-Marhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah selaku pemerintah tertinggi Angkatan Tentera telah dimasyhurkan sebagai Canselor UPNM di Majlis Konvokesyen ini. Kemudian diikuti dengan Perisytiharan Perlantikan dua Pro Canselor UPNM oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong iaitu Yang Teramat Mulia Brig. Jen. Dato’ Seri Tunku Puteri Intan Safinaz binti KDYMM Sultan Hj Abdul Halim Mu’adzam Shah, Tunku Seri Panglima Besar Kedah, dan Jeneral Tan Sri Dato’ Mohamed Ghazali Bin Dato’ Mohamed Seth (Bersara). Dalam Majlis Konvokesyen Pertama ini juga, UPNM telah menganugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Pengajian Strategik) kepada Jeneral Tun Ibrahim Bin Ismail (Bersara) dan Ijazah Kehormat Sarjana (Pengajian Peperangan: Operasi Melawan Insurgensi) kepada Pegawai Waran 1 Temenggong Kanang a/l Langkau (Bersara). Seramai 150 graduan sulung UPNM telah menerima Ijazah masing-masing pada majlis konvokesyen ini. Daripada jumlah itu, 148 orang adalah penerima Ijazah Sarjana Muda dengan seramai 144 pegawai kadet dan 4 pelajar awam. Manakala 2 pelajar adalah penerima Ijazah Sarjana Sains yang berdasarkan kepada penyelidikan dalam bidang masing-masing. Pada masa sama, julung kalinya UPNM menganugerahkan empat graduan penerima Pingat Emas mengikut kategori. Penerima Pingat Emas Canselor adalah Mohd Khalis Bin Zainudin, pelajar Sarjana Muda Pengurusan Sumber Manusia Pertahanan. Pingat Emas Naib Canselor dianugerahkan kepada Mohd Yusri bin Mohd Yunos, Pelajar Sarjana Muda Sains Komputer (Keselamatan Sistem Komputer). Pingat Khas Senat dianugerahkan kepada Norkhairunisa Binti Kamarul Amran, pelajar Sarjana Muda Pengajian Strategi. Manakala Pingat Khas Sapura dianugerahkan kepada Nuraini binti Zulkifli, pelajar Sarjana Muda Sains Komputer (Keselamatan Sistem Komputer). Turut hadir pada majlis konvokesyen pertama UPNM ini ialah DYMM Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah, Menteri Pengajian Tinggi, Menteri Pertahanan, Timbalan Menteri Pertahanan, Panglima Angkatan Tentera, Naib-Naib Canselor IPTA dan wakil-wakil daripada kedua-kedua stakeholders.




No comments: