Friday, August 12

PEMBAZIRAN DALAM BULAN RAMADHAN


Larangan mengenai pembaziran telah dijelaskan oleh Allah SWT di dalam surah al-Isra’ ayat 26 dan 27:

“Dan berikanlah kepada kerabatmu dan orang miskin serta orang musafir haknya masing-masing dan janganlah engkau membelanjakan hartamu dengan melampau-lampau. Sesungguhnya orang-orang yang boros itu adalah saudara-saudara syaitan, sedang syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhan-Nya”.

Jenis pembaziran yang menjadi amalan umat Islam ialah:

  1. MAKANAN BERBUKA. Penyediaan juadah berbuka atau pembelian juadah yang melampau dan melebihi keperluan sesaorang ialah jenis pembaziran ketara dalam masyarakat kita. Mereka membeli dan belanja ikut nafsu, bila lebih makanan itu akan di buang.
  2. MAKANAN BERLEBIHAN SEMASA BERSEDEKAH ATAU KENDURI DI MASJID : Niat buat kenduri atau sedekah itu amat baik, tetapi apabila makanan yang di sedekah itu terlalu banyak, maka jemaah yang datang tak mampu makan, malah setengah makanan itu terbuang dan ia amat membazir. Perkara yang sedih ialah pembaziran dilakukan di rumah Allah. Setengah makanan itu rosak dan basi. Ini juga mendukacita dan tidak tercapat matlamat puasa dan sedekah di bulan Ramadhan ini.
  3. MEMBAZIR MEMBELI PERSIAPAN RAYA: Ramai yang menukar peralatan rumah, pakaian, perabot dan sebagainya kerana alasan kita nak raya. Tapi ramai yang tak sedar setengahnya boleh menjurus kepada pembaziran, jika kita belanja mengikut nafsu dan berlebihan. Setengah dari kita ada perasaan menunjuk-nunjuk dengan jiran, ini yang parah.
  4. MEMBAZIR BELANJA MEMBELI MERCUN DAN BUNGA API : Ini adalah amalan yang perlu di elakkan. Latih anak kita supaya jauh dari permainan ini, kerana ia membazir wang, membahaya dan salah di sisi undang-undang
  5. MEMBAZIR MASA : Membazir masa yang tak sedar. Tetapi ramai yang buang masa dengan borak kosong, lepak dan buat aktiviti tak faedah. Ini bulan yang perlu diisi dengan amalan baik, kebajikan dan ibadat.
  6. BUKA DI TEMPAT MEWAH ? : Adakah ini keperluan atau kehendak, saya tak mahu ulas, nanti orang kaya marah, tapi kita boleh fikir sendiri, kadang makanan di hotel sama dengan di pasar ramadhan, cuma di hotel lebih selesa, itulah bezanya!. Namun harga di hotel kadang 10x ganda? membazir atau tidak.

Seseorang itu perlu untuk berbelanja sekadar diukur dengan kemampuan sebenar sahaja walaupun kemampuannya untuk berbelanja melebihi keperluan sebenar. Sebaik-baiknya ialah berbelanja secara sederhana sebagaimana firman Allah SWT di dalam surah al-Furqan ayat 67 yang bermaksud: “Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah) yang apabila membelanjakan hartanya, tiadalah melampaui batas dan tiada bakhil kedekut dan (sebaliknya) Perbelanjaan mereka adalah betul sederhana di antara kedua-dua cara (boros dan bakhil ) itu”.

Tuesday, August 2

BISIKAN RAMADHAN

SELAMAT MENYAMBUT RAMADHAN AL-MUBARAK YANG PENUH KEMULIAAN DAN KEBERKATAN BUAT SELURUH UMAT ISLAM KHUSUSNYA WARGA BATALION JEBAT

KELEBIHAN RAMADHAN

Bulan Ramadhan merupakan bulan yang mempunyai banyak kelebihan. Kedatangannya selepas dua bulan yang juga tidak kurang keistimewaannya iaitu Rejab dan Sya'ban. Bagi tujuan menyuburkan rasa tanggungjawab dan rasa ingin menambahkan ibadat kepada Allah sepanjang Ramadhan ini, di sini dibawa beberapa hadis yang menceritakan mengenai kelebihannya.

1. Abu Hurairah menyatakan : Telah bersabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud : Apabila telah tibanya Ramadhan, dibuka pintu-pintu syurga dan ditutup segala pintu neraka dan diikat segala syaitan. -Hadis dikeluarkan oleh imam Bukhari, Muslim, Nasai'e, Ahmad dan Baihaqi-

2. Daripada Abu Hurairah daripada Rasulullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud :Sesiapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan keikhlasan nescaya akan diampuninya segala dosanya yang telah lalu. - Diriwayat oleh imam Nasai'e, Ibn majah, Ibn Habban dan Baihaqi-

3. Abu Hurairah telah berkata : Aku telah mendengar Rasulullah S.A.W bersabda tentang Ramadhan yang bermaksud : Sesiapa yang mendirikannya(Ramadhan) penuh keimanan dan keikhlasan diampunkan baginya apa dosanya yang telah lalu. - Hadis riwayat Bukhari, Muslim, Tarmizi, Abu Daud, Nasai'e,Malik,Ahmad dan Baihaqi-

4. Daripada Abu Hurairah telah berkata: Rasullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud : Sembahyang yang difardhukan kepada sembahyang yang sebelumnya merupakan penebus apa antara keduanya, dan Jumaat kepada Jumaat yang sebelumnya merupakan penebus apa antara keduanya, dan bulan kepada bulan(iaitu Ramadhan) merupakan kaffarah apa antara keduanya melainkan tiga golongan : Syirik kepada Allah, meninggalkan sunnah dan perjanjian (dilanggar). Telah berkata Abu Hurairah : Maka aku tahu perkara itu akan berlaku, maka aku bertanya: Wahai Rasulullah! adapun syirik dengan Allah telah kami tahu, maka apakah perjanjian dan meninggalkan sunnah? Baginda S.A.W bersabda : Adapun perjanjian maka engkau membuat perjanjian dengan seorang lain dengan sumpah kemudian engkau melanggarinya maka engkau membunuhnya dengan pedang engkau, manakala meninggal sunnah maka keluar daripada jamaah(Islam).-Hadis riwayat Ahmad, Al-Hakim, dan Baihaqi-

5. Daripada Abi Soleh Az-zayyat bahawa dia telah mendengar Abu Hurairah berkata: Rassullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud : Setiap amalan anak Adam baginya melainklan puasa maka ia untukKu dan Aku akan membalasnya. Dan puasa adalah perisai, maka apabila seseorang berada pada hari puasa maka dia dilarang menghampiri(bercumbu) pada hari itu dan tidak meninggikan suara.Sekiranya dia dihina atau diserang maka dia berkata : Sesungguhnya aku berpuasa demi Tuhan yang mana diri nabi Muhammad ditanganNya maka perubahan bau mulut orang berpuasa lebih harum di sisi Allah pada hari qiamat daripada bau kasturi, dan bagi orang berpuasa dua kegembiraan yang mana dia bergembira dengan keduanya apabila berbuka dia bergembira dengan waktu berbukanya dan apabila bertemu Tuhannya dia gembira dengan puasanya. -Hadis riwayat imam Bukhari, Muslim, Nasai'e, Ahmad, Ibn Khuzaimah, Ibn Habban dan Baihaqi-

PENERANGAN HADIS

1. Semua hadis menceritakan betapa besarnya kelebihan bulan Ramadhan untuk kita sama-sama menghidupkannya dengan segala amalan sunnah.

2. Pintu syurga dibuka sepanjang Ramadhan, manakala pintu neraka pula ditutup. Ini menggambarkan bagaimana Allah begitu mengasihani hambaNya yang taat beribadat dan menurut segala perintahNya.

3. Syaitan diikat sepanjang bulan Ramadhan agar kita dapat menunaikan segala ibadat dengan penuh keikhlasan. Tetapi kita perlu ingat bahawa kawan syaitan yang berada pada diri kita iaitu nafsu akan menggantikan tugas syaitan jika kita lalai.

4. Pentingnya keikhlasan dan keimanan kita dalam menunaikan ibadat.

5. Puasa mampu menjadi perisai diri daripada terjebak ke lembah maksiat, begitu juga ia mampu menghapuskan segala dosa-dosa yang lepas jika kita benar-benar bertaubat.

6. Kita mesti menghidupkan sunnah yang mana yang paling besar ialah berada dalam jemaah Islam terutama di dalam mengembalikan semula khilafah Islamiah yang telah lama dihancurkan iaitu pada 1924.

7. Jauhkan daripada syirik pada Allah sama ada berbentuk perbuatan, niat ataupun percakapan. Kita mesti mematuhi segala perjanjian yang dibuat selagi tidak melanggar hukum syarak.

8. Kita mesti berpuasa pada semua anggota bukannya pada makan dan minum sahaja.

9. Bau mulut orang berpuasa lebih harum daripada bauan kasturi.

10. Orang berpuasa akan mengecapi dua kegembiraan iaitu ketika berbuka dan apabila bertemu Allah kelak.

11. Di dalam menunaikan ibadat puasa kita mesti banyak bersabar dan jangan suka berbual kosong apatah meninggikan suara apabila bercakap.